Latar Belakang Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)
Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang pada asalnya dikenali sebagai Kolej Yayasan Pelajaran MARA (KYPM) telah diasaskan sebagai sebuah institut pengajian tinggi swasta di bawah Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta Tahun 1996 (Akta 555) pada September 2003. KPTM diuruskan oleh Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA). KPTM menawarkan pelbagai peluang pendidikan dalam bidang-bidang seperti Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Sains Kesihatan, Sains Sosial, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Kejuruteraan, Kemanusiaan dan Bio-Industri.
Bermula pada Januari 1983, sebuah Pusat Sumber Pembelajaran telah ditubuhkan di Kota Bharu, Kelantan. Pada Jun 1983, Maktab Sains MARA (dahulunya dikenali sebagai Kolej Komuniti MARA) telah ditubuhkan di Kuantan, Pahang dengan menawarkan sebuah program berkembar yang dikenali sebagai Ijazah Bersekutu Amerika (American Associate Degree, AAD). Program ini telah diterima dengan baik oleh lebih daripada 75 universiti di Amerika Syarikat dan New Zealand sebagai program ijazah pemindahan 2+2.
Pencapaian luar biasa ini kemudiannya membawa kepada penubuhan KPTM Kuala Lumpur (1987), KPTM Bangi (1988) dan KPTM Kota Bharu (1994). Beberapa pakatan strategik antarabangsa telah dibentuk bersama Konsortium Utara United Kingdom (1988), Konsortium Pengajian Tinggi Australia di Malaysia (1994) dan Konsortium Pengajian Tinggi British di Malaysia (1994) yang membolehkan pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka di beberapa universiti ternama United Kingdom dan Australia.
Pada tahun 1993, satu usahasama telah dimeterai bersama Dublin Business School (DBS), Ireland untuk menjayakan Program Perakaunan Profesional (ACCA) yang kemudiannya disusuli dengan satu lagi usahasama bersama Coventry University, United Kingdom pada 2004 yang telah membawa kepada inisiatif untuk melahirkan siswazah yang bertaraf dunia.
Berita mengenai kerjasama bersama Dublin Business School (DBS) boleh dilihat di sini: DBS launches partnership with leading Malaysian College
KPTM juga telah menjalinkan kolaborasi bersama universiti awam dan swasta tempatan seperti Universiti Teknologi MARA (1994), Universiti Putra Malaysia (1995), Universiti Malaya (1995), Universiti Kebangsaan Malaysia (1996), Universiti Sains Malaysia (1996), Universiti Multimedia (1998), Universiti Utara Malaysia dan Pusat Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (1999).
Kerjasama yang dijalin bersama Dublin Business School (DBS), Ireland pada Oktober 2014 untuk mengendalikan program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan merupakan satu lagi langkah berani yang diambil oleh Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) untuk mengantarabangsakan struktur akademik programnya yang akan memberikan faedah kepada para pelajar dalam jangka masa panjang.
Kekuatan KPTM sedia ada dibina melalui rekod yang cemerlang dengan penggabungan 2 institusi terkemuka MARA iaitu Kolej Yayasan Pelajaran MARA (KYPM) dan Akademi Infotech MARA (AIM).
KPTM telah berkembang sejak penubuhannya sebagai antara institut pengajian tinggi swasta Bumiputera yang terbesar di Malaysia dengan seramai lebih 17,600 orang pelajar sepenuh masa di sembilan kampus; Kuala Lumpur, Bangi, Kuantan, Batu Pahat, Ipoh, Alor Setar, Kota Bharu, Semporna dan Gua Musang. Sehingga ke hari ini, KPTM telah menghasilkan seramai 32,487 orang graduat sejak penubuhannya secara rasmi pada tahun 2003.
Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KPTM KL) telah dinaik taraf sebagai kolej universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 15 Oktober 2015. KPTM KL kini dikenali secara rasmi sebagai Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM).
Komitmen kami terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan fleksibiliti untuk pendidikan diperlihatkan dalam kepelbagaian program yang ditawarkan melalui Pusat Pendidikan Berterusan (PPB). Sejak penubuhannya pada tahun 1995, PPB telah menawarkan program separuh masa dan pembelajaran jarak jauh dari sijil, diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang dan juga kursus jangka pendek yang dijalankan dengan kerjasama universiti-universiti tempatan dan antarabangsa serta institusi rakan kongsi.
Harapan
Hari ini, KPTM berbangga dengan sejarah dan asas penubuhan yang kukuh yang telah membawa pertumbuhan berterusan pendidikan di masa hadapan. Pada masa kini, kami telah dapat memberikan peluang kepada ramai individu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka menerusi program kami yang berkualiti dengan yuran yang berpatutan.
Telah menjadi komitmen kami sepenuhnya untuk memberikan akses pendidikan yang mudah di samping mengamalkan pendekatan holistik dalam pendidikan dan latihan bagi menjamin para pelajar memperoleh kerjaya yang baik serta menjadi satu pelaburan masa hadapan bagi mereka.