KUALA LUMPUR, 19 Januari 2026 - Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 1,000 warga MARA merangkumi pengurusan tertinggi, kakitangan serta wakil subsidiari yang menggariskan hala tuju strategik serta aspirasi MARA dalam memperkukuh prestasi, kesepaduan dan kecemerlangan organisasi. Seiring dengan penganjuran majlis ini, satu slot penghargaan khas telah diadakan bagi meraikan atlet dan jurulatih kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di Sukan SEA ke-33 di Thailand. Atlet yang diraikan terdiri daripada warga kerja MARA serta pelajar Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar, dengan pencapaian cemerlang khususnya dalam acara Sepak Takraw dan Kriket. Pengiktirafan ini dilaksanakan di bawah inisiatif MARA Corp SMILE, dengan penekanan terhadap nilai Inspiring dan Moments, sebagai penghargaan kepada wira sukan MARA yang menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga Kumpulan MARA. Sumbangan penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman selaku Pengerusi MARA Corporation (MARA Corp) dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corp, Encik Yahaya Sani. Inisiatif kolaborasi antara MARA dan MARA Corp ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bakat, memupuk semangat kecemerlangan serta memperkukuh hubungan strategik di bawah konsep Unified Entity. Usaha penghargaan seperti ini akan terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada agenda tanggungjawab sosial dan pembangunan modal insan MARA secara mampan pada masa hadapan.





